Masalah jerawat?

JERAWAT! Malunya hendak keluar, apa nak buat ini? Mungkin lebih baik menyorok saja di rumah supaya orang lain tidak nampak kesan cela yang ketara pada wajah. Tetapi sampai bila perlu berbuat demikian dan sanggupkah memerap diri selama 24 jam di rumah?

Reaksi yang memperlihatkan rasa tidak senang hati dan kerunsingan seperti itu sememangnya berlaku pada sesetengah remaja baru hendak melangkah ke alam dewasa serta sering beranggapan, masalah jerawat sesuatu amat memalukan. Realitinya, hampir setiap remaja bimbang mereka akan mendapat jerawat apabila menginjak akil baligh. Sehinggakan, sebutir jerawat yang ada pada wajah boleh menyebabkan mereka mengalami masalah emosi begitu teruk.

Gambaran itu turut memperlihatkan, masalah kulit remaja boleh menjadi isu berpanjangan yang merumitkan atau boleh timbul masalah lain jika tidak ditangani dengan betul.

Masalah kulit boleh jejaskan penampilan, sekali gus kurangkan keyakinan diri

JERAWAT, penyakit kulit yang kerap berlaku di kalangan remaja atau golongan muda dan dikatakan berlaku akibat perubahan hormon yang dialami. Walaupun mungkin berlaku pada tahap ringan atau sederhana, jerawat tidak seharusnya dipandang remeh kerana jika tidak dirawat dengan betul ia boleh melarat dan menjadi bertambah teruk hingga ke tahap sukar dikawal.

Dalam sesetengah kes, walaupun jerawat sudah sembuh selepas dirawat, ia akan meninggalkan masalah seperti parut yang kekal pada muka. Ada juga yang berdepan dengan masalah kulit menjadi berlubang dan kasar, manakala kehadiran tompok hitam bekas peninggalan tapak jerawat menyebabkan kulit kelihatan kotor atau hodoh sehingga menimbulkan rasa rendah diri.

Lazimnya masalah kulit itu menyerang mereka yang mempunyai kulit muka berminyak terutama remaja atau golongan muda. Ini berlaku kerana pada peringkat usia itu pengeluaran hormon seks (androgen) yang berlebihan akan merangsang kelenjar sebum untuk menghasilkan sebum (bahan berminyak yang dirembeskan oleh kelenjar sebum) berlebihan dan keadaan demikian menyebabkan muka berminyak.

Sebahagian besar kelenjar sebum dalam badan tertumpu di muka khususnya pada bahagian dahi, hidung dan dagu. Apabila pengeluaran sebum tersekat pada folikel rambut, jerawat akan tumbuh. Lazimnya, jerawat akan pulih selepas melalui alam remaja, tetapi bagi sesetengah wanita jerawat kekal melewati umur 20-an.

Jerawat juga boleh dikaitkan dengan tekanan dan dalam keadaan ini wanita lebih sensitif berbanding lelaki. Bagaimanapun, tahap serius jerawat seseorang bergantung kepada beberapa faktor seperti kadar hormon seks yang dikeluarkan, kadar sensitif kelenjar sebum dalam pengeluaran sebum dan kadar jangkitan bakteria pada jerawat.

Masalah jerawat selalunya menjadi lebih teruk kira-kira satu minggu sebelum haid. Secara amnya remaja lelaki selalunya mempunyai jerawat yang lebih teruk daripada remaja perempuan. Namun, apa yang pasti kemunculan jerawat boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang dan sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, parut pada bahagian yang diserang akan kekal.

WAJAH bebas daripada jerawat meningkatkan keyakinan diri.

Jessica Chan, berkata oleh sebab itulah pengetahuan luas mengenai penjagaan kulit yang ada masa kini dan patuh mengikuti panduan penjagaan kulit adalah penting kerana ia akan membantu golongan muda itu mengawal masalah jerawat dihadapinya. Malah, dalam kes tertentu ia boleh dihapuskan sama sekali.

“Kehidupan remaja zaman sekarang lebih mencabar. Selain sekolah, banyak kerja rumah dan aktiviti kokurikulum yang perlu diberi perhatian. Jika ada masa yang terluang, kawan mengajak keluar bersantai. Dengan aktiviti yang begitu banyak perlu dilakukan, memiliki kulit bersih berseri pasti mengurangkan masalah membimbangkan remaja.

“Malangnya, 80 peratus muka remaja dan golongan muda ditumbuhi jerawat sekurang-kurangnya sekali sebulan. Perubahan hormon ketika akil baligh menyebabkan sebum berlebihan pada muka dan pengumpulan sel kulit mati menyebabkan liang roma tersumbat. Keadaan itu menyebabkan pertumbuhan jerawat yang mencela wajah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran rangkaian produk baru, Clearasil Stayclear di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Chan berkata, kaji selidik rambang yang dibuat syarikat itu pada Mac hingga Mei lalu mendapati, antara masalah biasa yang dihadapi oleh remaja dan golongan muda ialah jerawat. Rata-rata responden yang ditemui, membenci jerawat dan menganggapnya ia boleh memalukan mereka.

Kaji selidik itu membabitkan 100 responden berusia 15 hingga 24 tahun dan mereka terdiri daripada kumpulan pelajar kolej serta sekolah menengah dari sekitar Lembah Klang. Antara tujuan kaji selidik ialah untuk mengetahui apakah cara penjagaan kulit wajah yang biasa dilakukan di kalangan remaja dan golongan muda.

Berdasarkan kaji selidik itu, kata Chan, remaja dan golongan muda mengimpikan kulit yang bersih iaitu tiada jerawat, tidak berminyak dan tidak ada tompok hitam yang mencela wajah.

“Kehadiran jerawat pada wajah boleh menyebabkan seseorang itu berasa malu pada rakan dan orang sekelilingnya sehinggakan ada yang sanggup berubah secara drastik seperti mengurungkan diri di rumah dan enggan bertemu dengan rakannya. Apabila keluar rumah pula, ada yang menggunakan buku bagi menutupi wajah. Tidak kurang juga yang memberitahu, mereka berasa sedih dan tertekan kerana wajah mereka tampak hodoh apabila ditumbuhi jerawat.

“Keadaan itu juga secara tidak langsung turut membuatkan mereka hilang keyakinan diri atau berasa rendah diri. Selain itu ada responden memberitahu, setiap kali ditumbuhi jerawat mereka akan mengambil langkah tertentu seperti menjaga amalan pemakanan dan menggunakan produk tertentu bagi mengatasi masalah berkenaan. Ada juga yang menggunakan kosmetik dengan tujuan melindungi kecacatan kulit dan menyorokkan kulit yang kurang sempurna,” katanya.

Chan berkata, penggunaan kosmetik hanya untuk melindungi ketidaksempurnaan pada wajah, sepatutnya bukan menjadi amalan kerana individu tidak perlu lari daripada kenyataan. Sebaliknya, memahami program asas penjagaan kulit adalah lebih penting dalam menangani masalah jerawat.

“Dalam usaha menghilangkan masalah jerawat dan inginkan kesan yang cepat, ada juga remaja menggunakan sesuatu produk secara keterlaluan. Ini mungkin berisiko kerana sesetengah bahan kimia yang ada pada produk terbabit boleh menjejaskan struktur kulit normal.

“Rawatan kulit berjerawat memerlukan individu supaya bersabar kerana ia memakan masa dan secara umum, masalah kulit tidak boleh diatasi dalam tempoh paling singkat atau sekelip mata. Oleh sebab itulah amalan rutin penjagaan kulit wajah adalah penting. Bagaimanapun, jika penggunaan sesuatu produk itu bermasalah pada wajah individu perlu cepat-cepat menghentikannya dan dapatkan rawatan daripada pakar,” katanya.

INFO: Mengenai kulit

Perlu diketahui, walaupun sesuatu produk berjenama dan mahal, ia tidak semestinya sesuai untuk kulit anda. Adalah suatu yang biasa bagi individu berkulit normal tiba-tiba mendapat kulit bermasalah dan berminyak selepas menggunakan produk berjenama serta mahal.

Ada pembersih muka sangat berkesan menanggalkan sisa solekan dan liang berminyak pada permukaan kulit, tetapi menjadikan kulit kering dan kasar. Ada juga pembersih muka yang baik dalam membuang sisa kotor pada permukaan kulit tanpa mengeringkan muka, tetapi selepas beberapa kali menggunakannya, kulit menjadi semakin berminyak dan timbul jerawat. Pastikan anda kenal dan faham jenis pembersih yang harus digunakan.

Gunakan pembersih jenis krim atau losen (kebiasaannya sesuai untuk kulit kering) sebelum tidur dan pada waktu pagi. Jika anda mempunyai kulit berminyak dan berjerawat, gunakanlah pembersih jenis gel atau pembersih bertindak mendalam (deep cleanser) dan seboleh-bolehnya cuba elak menggunakan pembersih jenis krim atau losen kerana ini menyebabkan kulitlebih berminyak dan mudah diserang jerawat.

Individu disarankan membersih muka tiga kali sehari. Ini perlu untuk mencegah sisa minyak berlebihan tidak tersumbat pada liang kulit.INFO: Cara menjaga kulit berjerawat

Jangan sekali-kali mencubit, mencungkil atau menggaru jerawat. Perbuatan ini akan lebih memburukkan keadaan dan akan menyebabkan parut yang kekal di muka.

Testimoni minyak kelapa dara satu

Testimoni minyak kelapa dara satu


Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2