Jerawat

Jerawat terjadi disebabkan folikel rambut pada kulit tersumbat dengan minyak dan sel kulit mati. Biasanya, ini memberi kesan kepada kanak-kanak yang mula beralih ke usia remaja. Malah orang tua juga mengalaminya akibat perubahan hormon. Bagi remaja, jerawat menyebabkan mereka kurang keyakinan diri. Apatah lagi, sekiranya ia eninggalkan parut kekal yang memberi kesan kepada penampilan dan sosial mereka.

Kesan jerawat boleh diminimumkan dengan pengambilan beta karotena (sebatian yang akan bertukar menjadi vitamin aktif apabila badan memerlukan) dan vitamin C. Nutrien ini mempunyai kualiti antioksida yang tinggi serta menghalang kehadiran bakteria pada kulit.

Buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya beta karotena berwarna kuning seperti oren, betik, mangga, kapsicum kuning, labu dan kentang manis. Vitamin C boleh ditemui dalam beri hitam, strawberi, buah-buahan sitrus dan sayur-sayuran berdaun hijau. Namun kebanyakan remaja kurang menyukai sayur-sayuran hijau.

Jadi cara mudah membantu mendapatkan nutrien bagi memperbaiki keadaan jerawat adalah dengan mencampurkannya menjadi jus. Ia adalah pengganti minuman yang jauh lebih baik daripada minuman berkarbonat serta manis.

Jus untuk dicuba: Oren bersama mangga, limau gedang bersama lobak merah, tomato bersama lobak merah, epal, tembikai susu dan timun.