JANGAN sesekali memandang ringan jika anda atau ahli keluarga terdekat mengalami simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas, pening kepala dan mengalami palpitas iaitu denyutan jantung yang pantas, kuat atau tidak teratur.
Tanda-tanda tersebut merupakan siren awal yang memberitahu seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari.
Penyakit arteri koronari merujuk pada penyempitan dan penyumbatan arteri yang membekalkan darah kepada jantung melalui pengumpulan lemak dan kolesterol.
Proses ini dipanggil koronari aterosklerosis yang menyebabkan peredaran darah lemah, miokardium anoksia dan juga miokardium nekrosis.
Dalam kes yang teruk, pesakit boleh meninggal dunia disebabkan jantung terhenti mengejut atau dikenali
Sudden Cardiac Arrest (SCA).
Seseorang yang menghidap masalah penyakit arteri koronari juga biasanya akan berasa sakit di dada seperti rusuk dihimpit-himpit dan tidak kurang juga yang sakit di bahagian tangan kiri, siku dan perut.
Penyakit arteri koronari terjadi apabila berlakunya pengumpulan lemak, kolesterol, kalsium dan bahan lain dalam darah yang dikenali sebagai plak.
Buat Pemeriksaan Berkala
Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, buat pemeriksaan berkala khususnya mereka yang berpotensi menghidap SCA.
Mereka perlu mengetahui sejarah keluarga. Risiko lebih tinggi sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga menghidap sakit jantung mahu pun meninggal dunia pada usia muda tanpa sebab.
Selain itu, amalkan hidup sihat dan lakukan pemeriksaan rutin seperti ujian kolesterol, tekanan darah dan paras gula.
Individu berisiko termasuk mereka yang merokok, obesiti, mengamalkan gaya hidup tidak aktif dan mengalami tekanan darah tinggi atau pernah mengalami serangan jantung.
Golongan itu disarankan merujuk kepada pakar kardiologi bagi menjalani ujian termasuk elektrokardiogram (ECG), echo-cardiogram, menjalani prosedur angiogram dan imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI).
Kesedaran mengenai bahaya SCA perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat memandangkan ia boleh menyebabkan kematian jika tidak diberikan rawatan kecemasan dalam tempoh beberapa minit sahaja.
Apabila jantung terhenti dan tidak ada bantuan kecemasan dalam kadar segera, ia menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.
Jika tidak dirawat dalam beberapa minit, mangsa meninggal dunia serta-merta.
Justeru, rawatan kecemasan yang boleh diberikan adalah memberikan tekanan kepada dada mangsa, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) atau menggunakan alat defibrilator.
Baca Lebih Banyak Info Kesihatan Disini