Anda Sihat? Awasi pemakanan

Awasi daripada kerosakan gigi Tahukan anda, pengambilan sehari sebanyak 50 gram daging yang diproses boleh meningkatkan risiko diabetes sebanyak 51 peratus manakala pengambilan sehari 100 gram daging segar boleh meningkatkan risiko sama sebanyak 19 peratus.

Hubungan itu diperkukuhkan oleh satu kajian lain yang dimuatkan dalam keluaran terbaru Nature Medicine, di mana risiko diabetes ada kaitan dengan pengambilan makanan tinggi lemak yang kebiasaannya berpunca daripada daging.

Kedua-dua penemuan ini memberi impak besar kepada peminat daging, khususnya penggemar makanan segera seperti burger, sekali gus menambah kekeliruan kepada konsep pemakanan sihat yang patut diamalkan bagi mencegah dan mengawal diabetes.

Jika dulu makanan manis dan tinggi karbohidrat dikatakan punca diabetes dan disaran mengambil banyak makanan tinggi protein seperti daging dan sayur, kini pemakanan bagi mengelak diabetes perlu dirumus dan diperjelaskan semula supaya matlamat makan untuk manfaat kesihatan yang sebenar-benarnya diperoleh.

Sebenarnya kaitan penyakit dan makanan bukan sesuatu yang baru. Kalau dulu ia banyak berkisar kepada isu kekurangan zat dan vitamin seperti masalah anemia, beri-beri, pellagra (penyakit akibat kekurangan asid nikotinik), goiter (pembengkakan leher akibat pembesaran kelenjar tiroid) dan sindrom marasmic-kwashiorkor, tetapi kini penyakit berkaitan amalan pemakanan berlebih-lebihan dan tidak seimbang begitu berleluasa.

Kemelut ini bertambah kompleks apabila banyak produk makanan di pasaran dicampur dengan bahan tambahan yang dalam jangka panjang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Bahkan ada yang tidak segan silu melanggar peraturan dengan menambah bahan terlarang dan dikawal undang-undang.

Apabila ia ditokok tambah dengan mesej mengujakan seperti untuk kekal cantik, sentiasa muda, langsing, kuat seks, tahan lama, sedap dan bertenaga, panjang umur dan pelbagai lagi keistimewaan, secara tidak langsung pengguna menjadi mangsa lantaran terpengaruh dengan produk disajikan.

Keghairahan serta trend menghasilkan produk makanan tidak mesra kesihatan kini menjadi fenomena global yang menakutkan. Ia bukan saja tertumpu di peringkat hasilan akhir, juga di peringkat penghasilan awal dan di peringkat ladang.

Dengan menggunakan teknik cepat dan berskala besar seperti modifikasi genetik, penggunaan baja kimia, racun serangga dan pelet makanan sintetik, hampir seluruh sistem makanan dunia dilimpahi produk makanan yang tidak lagi semula jadi dan boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan disebabkan komposisi kandungannya yang diubahsuai.

Isu juga timbul akibat kesilapan membuat polisi. Contoh paling jelas ialah Piramid Makanan yang dikatakan penyebab sebenar obesiti dunia dan dasar perindustrian makanan yang banyak mengeluarkan bahan makanan tidak sihat, rendah serat, tinggi kalori dan tinggi lemak.

Peningkatan mendadak penyakit berkaitan makanan yang ketara sejak akhir ini, jelas mengiyakan musibah yang berlaku kepada sumber makanan manusia.

Baik ia bersifat akut seperti wabak keracunan makanan (terbaru isu E Coli di Eropah) hinggalah penyakit kronik kanser, kegagalan buah pinggang, penyakit kardiovaskular, gangguan neurologi dan pelbagai penyakit metabolik termasuk diabetes. Malah, penyakit yang tidak disangka juga muncul.

Insiden susu beracun yang melanda China dulu, penyakit lembu gila yang dikaitkan dengan daging mengandungi prion, sos beracun daripada Vietnam atau mi beracun daripada Indonseia dan pelbagai lagi kemelut seumpamanya adalah beberapa contoh jelas bagaimana bahan makanan yang asalnya dianggap selamat menjadi tidak selamat.

Di Malaysia misalnya, dalam tempoh 10 tahun saja (1996- 2006), penyakit berkaitan makanan, terutama obesiti meningkat hampir 200 peratus, manakala diabetes meningkat hampir 80 peratus.

Malah, trend sama juga diperhatikan dengan masalah kanser, kegagalan buah pinggang, penyakit kardiovaskular, angin ahmar dan keracunan makanan. Pastinya ia tidak berpunca daripada satu sumber makanan saja.

Justeru, menyifatkan susu atau daging sebagai sumber protein penting mungkin perlu difikir semula kerana fakta membuktikan ia menyebabkan keracunan dan diabetes.

Begitu juga glukos dan karbohidrat, walaupun asalnya sebagai sumber kalori penting tubuh, fakta menunjukkan ia punca sebenar obesiti, bukan lelemak dan bukan minyak.

Inilah fenomena sekarang. Disebabkan permintaan kepada makanan siap, segera dan enak sangat tinggi, konsep pemakanan sihat iaitu pemakanan semula jadi dari alam terus dipinggirkan kerana memberi laluan kepada produk makanan yang dikeluarkan secara massa oleh industri.

Apabila ia dipromosi besar-besaran, dengan mesej memukau dan terliur, tidak dapat tidak, nilai salah juga dibentuk. Lama kelamaan ia menjadi kebiasaan dan amalan salah masyarakat.

Sebagai pengguna, kita harus bijak membezakan sumber makanan untuk kesihatan dan sumber makanan untuk kepuasan. Kita tidak seharusnya bulat-bulat ‘dikelentong’ industri, sebaliknya terus berpegang kepada ilmu mencari dan memilih produk yang benar-benar sesuai untuk keperluan badan.

Setiap orang ada tujuan tersendiri daripada pemakanannya. Mereka yang ingin menjaga badan tentu berbeza dengan mereka yang ingin kelihatan muda. Begitu juga mereka yang mementingkan tenaga berbeza dengan mereka yang mementingkan kesihatan usus.

Sumber makanan terbaik ialah yang langsung dari alam, yang hidup tanpa banyak dimanipulasi, diproses industri, yang fakta nutriennya stabil dan tak pernah berubah.

Kita harus tahu sumber semula jadi apa yang mampu menurunkan berat badan, sumber makanan yang berupaya mengekalkan muda, memberi tenaga dan yang dapat menjaga kesihatan usus. Semuanya disediakan oleh alam.

Tugas kita ialah mencari, merujuk kepada pakar dan menjadikannya amalan pemakanan seharian. Jika ia dikomersialkan, pastikan nilai nutriennya masih kekal dan tidak dicampur aduk dengan bahan yang boleh mengganggu kandungan semula jadinya.

Meskipun ada industri mempromosi pemakanan sihat, baik secara kecil-kecilan menerusi aktiviti memasak dan ceramah kesihatan atau sedikit besar seperti aktiviti pertanian organik, ia belum cukup untuk menjadi trend yang boleh menyelamatkan masyarakat.

Selagi acara makan-makan masih menjadi fenomena masyarakat dan industri pemakanan dilihat pada sudut komersial semata-mata, selagi itu konsep pemakanan untuk kesihatan terus diketepikan.

Justeru, konsep pemakanan sihat, pemakanan yang dapat mengelak dan mengawal penyakit dan pemakanan yang dapat membangunkan kesihatan, perlu diorientasikan semula supaya benar-benar difahami kedua-dua pihak, baik industri mahupun pengguna.

Hanya cara ini khasiat dan zat untuk keperluan kesihatan dapat dikekalkan dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan total masyarakat.

facebook_067.php