Atasi sakit kepala

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
 
Banyak punca sakit kepala antaranya tekanan, kurang tidur, kegusaran dan keletihan. Namun, berapa ramai yang mengambil berat mengenai kesakitan ini?
 
Adakalanya kita lebih suka membiarkan kesakitan menguasai diri hingga boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada orang di sekeliling disebabkan emosi yang tidak menentu. 
 
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai punca sakit kepala dan cara pengurusannya, firma farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, GlaxoSmithKline Consumer Healthcare (GSK) melakukan tinjauan Memahami Pengurusan Kesakitan Panadol 2014. 
 
Kajian berkenaan dilaksanakan firma penyelidikan pasaran global, Ipsos. Tinjauan itu membabitkan kumpulan sampel terdiri daripada 306 rakyat Malaysia berusia 18 hingga 65 tahun dari Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Ipoh serta Johor Bahru yang pernah merasai kesakitan dalam tempoh enam bulan lalu.
 
SAKIT kepala perlu diurus dengan betul agar tidak mendatangkan masalah kepada orang di sekeliling.
 
Tinjauan bertujuan untuk meneliti persepsi dan sikap rakyat di negara ini terhadap pengurusan kesakitan. Hasil tinjauan dikongsi bagi menggalakkan lebih ramai pesakit melakukan pengurusan kesakitan sebagai satu keutamaan dalam kehidupan mereka bagi mengelakkan impak negatif.
 
Tinjauan itu mendapati secara purata, rakyat Malaysia mengalami sakit kepala dua kali sebulan dalam tempoh tiga bulan lalu. 
 
Ia turut melaporkan individu yang mengalami sakit kepala biasanya menunggu antara dua hingga tiga jam sebelum mendapatkan rawatan sepatutnya. 
 
Menurut Pengarah Pemasaran GSK Consumer Healthcare Sdn Bhd Katharine Chen, tinjauan itu bertujuan menambah pemahaman penduduk di negara ini cara mengurus kesakitan dan persepsi mereka mengenai kesan kesakitan terhadap kehidupan masing-masing. 
 
“Hasrat kami untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan mengambil langkah yang lebih serius bagi mengurus kesakitan dan berkongsi maklumat tepat mengenai pengambilan ubat-ubatan. 
 
“Misi syarikat juga untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan dengan membolehkan masyarakat melakukan lebih banyak aktiviti digemari,” katanya. 
 
Ujarnya, peningkatan kesedaran mengenai kaedah kesakitan yang dialami memberi kesan kepada masyarakat sekeliling memandangkan kebanyakan individu yang mengalami sakit kepala bertindak sebagai pengasuh. 
 
Ini satu perkara yang mendesak kerana tinjauan menunjukkan pengasuh utama seperti ibu bapa dan wanita lebih senang me­ngalami sakit kepala. 
 
Kanak-kanak mungkin akan rasa terabai sekiranya ibu bapa sering merungut atau kurang sabar terhadap kerenah mereka kerana tidak mendapatkan rawatan kesakitan sewajarnya. 
 
Kesan dan rawatan 
 
Ahli Psikologi Kaunseling, Ketua Program Sarjana Kaunseling dan Pensyarah Kanan Universiti HELP Malaysia Dr Anasuya Jegathevi Jegathesan berkata, ramai yang tidak percaya kesakitan mampu mengubah tingkah laku mereka. 
 
“Realitinya, menahan kesakitan secara berterusan mempunyai kesan negatif terhadap keadaan emosi dan psikologi individu itu sekali gus memberi impak kepada masyarakat di sekeliling. 
 
“Kesakitan boleh membawa kepada rasa rendah diri dan kemurungan. Malah, mereka yang menderita kerana sakit mungkin mengalami kekecewaan dan ‘mood’ yang tidak menentu. 
 
“Pesakit juga berkemungkinan berasa sunyi dan terasing memandangkan kesakitan menyukarkan mereka bersosial,” katanya. 
 
Tambahnya, walaupun keluarga dan rakan-rakan biasanya menjadi sumber soko­ngan bagi pesakit, hubungan boleh menjadi tegang disebabkan keadaan emosi negatif pesakit. Ini boleh memberi kesan meluas memandangkan kesakitan yang biasa seperti sakit kepala menjadi lebih kerap dalam masyarakat moden dan mengalami tekanan yang tinggi. 
 
Pakar Pengurusan Kesakitan dan Anestesia Dr Gopinathan Raju pula berkata, mengenal pasti dan merawat kesakitan boleh menjadi kompleks memandangkan setiap pesakit merasai kesakitan berbeza. 
 
“Persepsi dan pengalaman serta toleransi terhadap kesakitan dipengaruhi pelbagai faktor. Pertubuhan Kesihatan Sedunia merumuskan pendekatan bertingkat untuk pengurusan kesakitan menggunakan ubat-ubatan untuk merawat kesakitan ringan, sederhana dan teruk. 
 
“Bagi kesakitan biasa atau ringan, ubat seperti parasetamol adalah ubat-ubatan pasaran kaunter yang kerap digunakan untuk memberi kelegaan,” katanya. 
 
Bagi sakit kepala biasa yang tercetus akibat tekanan kerja, kekurangan masa dan tidur, stres dan kegusaran, tekanan dan keresahan serta keletihan, pengambilan parasetamol digalakkan pada peringkat awal kesakitan sebelum keadaan menjadi lebih teruk. 
 
Kini, parasetamol adalah ubatan yang biasa diambil untuk membantu melegakan sakit kepala kerana dikatakan selamat, menjimatkan kos dan mudah diperoleh di samping sudah digunakan sejak sekian lama. 
 
Namun, penting bagi pengguna supaya tidak melangkaui dos maksimum yang disyorkan setiap hari dan memastikan tidak mengambil lebih daripada satu jenis ubat yang mengandungi parasetamol pada masa sama.

Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2