Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Kita juga sering dimomokkan bahawa orang gemuk lebih mudah menghidap diabetes, sedangkan tidak aktif adalah punca glukos tidak digunakan sebaik mungkin.
Kadar glukos tinggi bagi diabetes jenis 2 disebabkan sel ‘beta islet’ di dalam pankreas tidak mengeluarkan insulin mencukupi atau perlahan-lahan ‘mati’.
Insulin menjadi tidak efektif atau berlaku rintangan insulin yang mana glukos tidak boleh memasuki sel dan hanya berlonggok dalam peredaran darah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan secara rasmi 14 November sebagai Hari Diabetes Sedunia.
Logo lingkaran biru adalah lambang semua pihak berganding bahu memerangi diabetes yang dianggap penyakit kronik. Mulai 2009 hingga 2013, ‘Pencegahan dan Pendidikan Diabetes’ dijadikan tema sambutan.
Justeru, tidak hairan diabetes dianggap ‘musuh utama’ manusia yang boleh membunuh dengan mudah. Jika dulu, diabetes hanya menyerang golongan berusia, kini golongan muda seawal usia 30-an turut diserang penyakit ini.
Bagi menangani masalah global ini, AstraZeneca Sdn Bhd mengumumkan ketersediaan Forxiga (dapagliflozin) iaitu rawatan pertama kelas baru diabetes jenis 2 bagi membantu pesakit diabetes jenis ini mengawal kadar glukosa darah.
Forxiga (dapagliflozin) dirumus untuk pesakit diabetes jenis 2 berusia 18 tahun ke atas bertujuan memperbaiki glukosa darah, selain berfungsi membuang glukosa berlebihan melalui air kencing.
Pengarah Kampus Kesihatan, Prof Perubatan dan Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata, diabetes jenis 2 yang tidak terurus boleh membahayakan nyawa.
“Buat masa ini diabetes tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal dan pesakit boleh menjalani kehidupan yang aktif sepenuhnya. Pesakit juga perlu faham kepentingan mengawal glukosa darah dalam mengurus serta mengawal keadaan mereka.
“Ketersediaan dapagliflozin menandakan satu kemajuan dalam landskap rawatan untuk diabetes jenis 2, di samping menawarkan pilihan rawatan baru kepada 1.9 juta pesakit jenis 2 di Malaysia untuk membolehkan mereka mencapai tahap gula darah yang optimal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forxiga (dapagliflozin) satu rawatan pertama kelas baru untuk diabetes jenis 2 di ibu negara, baru-baru ini.
Ada dua jenis diabetes iaitu diabetes jenis 1 dan jenis 2. Diabetes jenis 1 yang dulunya dikenali sebagai diabetes juvenil biasanya dikesan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda.
Risiko diabetes jenis 2 pula meningkat dalam kalangan mereka yang mengamalkan gaya hidup kurang aktif. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini remaja dan orang muda juga didapati menghidap penyakit ini disebabkan kadar obesiti tinggi.
Diabetes jenis 2 adalah paling lazim dan menyumbang kepada 90 peratus kes diabetes di seluruh dunia.
Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh mengakibatkan komplikasi seperti penyakit jantung dan saluran darah, kerosakan pada mata, kegagalan buah pinggang, serta ulser di kaki.
Forxiga (dapagliflozin) adalah perencat terpilih dan berbalik bagi kotransporter 2 sodium glukosa (sodium glucose contransporter 2 SGLT2).
SGLT2 ialah protein dalam tubuh buah pinggang yang mengawal atur penyerapan semula 90 peratus kes diabetes di seluruh dunia.
Kawalan glukosa darah sangat penting dalam jangka masa panjang untuk melambatkan permulaan serta mengurangkan keterukan komplikasi diabetes jenis 2.
Dalam pada itu, Prof Klinikal Perubatan Universiti California, Prof Dr Sunder Mudaliar berkata, pengurusan berat badan juga adalah satu komponen penting dalam pengurusan diabetes jenis 2.
“Pengurusan berat badan yang berkesan sangat penting untuk mengawal glukosa darah, terutama bagi pesakit diabetes jenis 2 yang mempunyai berat badan berlebihan.
“Pengawalan paras glukosa darah akan menjadi lebih sukar jika berat badan bertambah. Forxiga (dapagliflozin) dengan tindakan yang inovatif memberi banyak manfaat kepada pesakit diabetes jenis 2,” katanya.
Kajian menunjukkan, melalui Forxiga (dapagliflozin), jumlah glukosa yang dikumuhkan melalui air kencing setiap hari boleh menyebabkan kehilangan berat badan ketara.
Untuk pesakit diabetes, kehilangan jumlah berat badan yang sederhana boleh melambatkan perkembangan penyakit ini secara mendadak.
Ia boleh memanfaatkan pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti. Kajian menunjukkan 82 peratus pesakit diabetes jenis 2 di negara ini adalah golongan obes.
Sempena pelancaran Forxiga (dapagliflozin), AstraZeneca turut memperkenalkan risalah pendidikan pesakit yang baru mengenai diabetes dan kemajuan dalam rawatan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit itu serta pilihan rawatan yang sedia ada.
Risalah berkenaan boleh didapati di klinik, farmasi serta hospital seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Perubatan AstraZeneca Sdn Bhd, Dr Surajit Dutta berkata, Forxiga (dapagliflozin) diluluskan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan pada 23 Januari 2014.
“Pihak kami dengan sukacita memperkenalkan Forxiga (dapagliflozin) di Malaysia khusus untuk pesakit diabetes jenis 2.
“Kami yakin ia akan membantu pesakit memperbaiki kawalan glukosa darah, seterusnya meminimumkan kesan penyakit itu terhadap mutu kehidupan mereka,” katanya.
Forxiga (dapagliflozin) boleh didapati dalam bentuk tablet bersalut filem 10 miligram. Ia boleh diambil sekali setiap hari pada bila-bila masa dengan atau tanpa makanan.