Gaya Hidup Tidak Sihat

cara dah gaya hidup sihat dengan BioVCO
Ada yang menganggap diri mereka sihat, tetapi mengamalkan gaya hidup yang menjurus kepada kemungkinan untuk mendapat penyakit seperti merokok, gemar mengambil minuman alkohol dan diet tidak seimbang. 
 
Perunding Pakar Perubatan dan Geriatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Rajbans Singh berkata, kebiasaannya mereka yang berada dalam kategori sihat dan sejahtera ini mengamalkan gaya hidup yang aktif. 
 
“Mereka menganggap diri sihat sehinggalah diserang penyakit. Kadangkala mereka yang menganggap diri sihat, tetap mengamalkan gaya hidup yang tidak sepatutnya.
 
“Golongan yang sihat dan sejahtera ini biasanya seorang yang aktif. Secara asasnya mereka mengamalkan rejim kesihatan yang sepatutnya seperti senaman, diet seimbang dan membuat pemeriksaan kesihatan secara tetap bagi mengekalkan kecergasan berbanding sihat saja,” katanya.
 
Dr Rajbans menambah, perkara penting yang perlu dilihat terlebih dulu dalam aspek kesihatan tubuh badan melalui gaya hidup yang dijalani adalah kulit, hati, sendi dan jantung. 
 
Namun, perkara utama yang harus diambil berat adalah jantung. Kesihatan jantung begitu penting kerana ia adalah penyebab nombor satu kematian. Penyakit jantung boleh terjadi kepada sesiapa saja. 
 
“Misalnya, wanita bergelar ibu berusia sekitar 30 hingga 60 tahun yang sibuk bekerja, tidak bersenam dan mengalami tekanan boleh menghidap penyakit jantung. 
 
“Bertambah buruk apabila mereka hanya mementingkan penjagaan kulit semata-mata berbanding kesihatan jantung,” katanya. 
 
Ini kerana jantung adalah teras kepada sistem peredaran darah yang membekalkan tubuh badan dengan oksigen dan nutrien penting lain yang diperlukan bagi meneruskan kehidupan. 
 
Tanpanya, manusia tidak boleh hidup dan secara purata, jantung manusia seberat antara 0.17 kilogram hingga 0.31 kilogram berdegup 60 hingga 80 kali seminit. 
 
Kadar kesihatan jantung berkait dengan faktor kecergasan fizikal, aktiviti serta emosi. Hormon yang dikeluarkan kerana emosi serta rangsangan lain akan menjejaskan kadar kesihatan jantung. 
 
Disebabkan itu, kebanyakan penyakit jantung dikaitkan dengan faktor emosi. Selain jantung, hati juga adalah organ penting dalam tubuh badan. 
 
Tambah Dr Rajbans, tubuh badan yang mengalami masalah nyahtoksin akan menyebabkan tekanan darah dan di sinilah fungsi hati penting untuk mengelakkan ia terjadi. 
 
Ini kerana hati adalah organ terbesar kelenjar dalam badan dan melakukan banyak fungsi penting bagi menjaga tubuh bebas daripada toksin dan bahan lain yang berbahaya. 
 
Ia adalah organ penting yang menyokong hampir setiap organ dalam badan. Seseorang itu tidak boleh menjalani kehidupan yang sihat tanpa hati yang sihat.
 
Purata hati dewasa seberat kira-kira 1.36 kilogram dan menerima 1419.36 mililiter darah setiap minit. Ia akan merembeskan bahan kimia kerana menghasilkan hempedu, bahan diperlukan untuk mencerna lemak. 
 
Garam hempedu (di dalam hempedu) pula akan memecahkan lemak menjadi kepingan lebih kecil supaya ia boleh diserap lebih mudah dalam usus kecil.
 
Selain menghasilkan hempedu, hati juga berfungsi menyahtoksin darah untuk menghapuskan bahan berbahaya seperti alkohol dan dadah, menyimpan vitamin serta zat besi. 
 
Disebabkan hati melakukan banyak fungsi penting, ia terdedah kepada penyakit. Antara isyarat menandakan hati bermasalah adalah perubahan warna najis 
atau air kencing menjadi gelap. 
 
Selain itu, tanda biasa masalah hati adalah penyakit kuning, hepatitis, hati berlemak serta kanser yang disebabkan oleh alkohol, ubat melegakan kesakitan dan dadah.
 
“Jika tidak menjaga kesihatan organ di dalam badan, kita akan dapat pelbagai penyakit seperti darah tinggi, diabetes dan akhirnya sakit jantung. 
 
“Ia dinamakan sebagai penyakit gaya hidup atau metabolisme yang disebabkan oleh pemakanan, kurang bersenam dan tekanan yang dihadapi setiap hari. 
 
“Mengambil gula dan garam berlebihan menyebabkan diabetes serta darah tinggi manakala mengamalkan pemakanan salah mengundang kesan buruk seperti obesiti atau kolesterol tinggi,” jelas Dr Rajbans yang melahirkan kebimbangannya mengenai gaya hidup tidak sihat sesetengah masyarakat hari ini. 
 
Tambahnya, jika dikumpulkan semua penyakit tadi, mereka akan mengalami masalah sakit jantung yang menjadi punca kepada kematian. 
 
Dr Rajbans memberitahu, angka pesakit diabetes dan darah tinggi di negara ini juga dilihat semakin membimbangkan. Ia menunjukkan sejuta masyarakat di negara ini menghidap diabetes dan empat juta orang mengalami pradiabetes.
 
Malah statistik menunjukkan pesakit tekanan darah tinggi boleh meninggal dunia dalam tempoh setahun atau dua tahun mereka menghidap penyakit terbabit.
 
Obesiti juga dilihat semakin meningkat iaitu sebanyak 40 peratus, seorang mengalami serangan jantung dalam setiap jam dan begitu juga dengan strok yang menunjukkan empat orang mengalaminya untuk tempoh setiap jam.
 
Walaupun banyak program pendidikan dilakukan di negara ini, ia masih belum dilihat membuka minda masyarakat. 
 
“Mengubah pemikiran bukan mudah ditambah dengan kehadiran makanan segera yang begitu pesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan gaya hidup tidak sihat menyukarkan lagi keadaan. 
 
“Kehadiran teknologi yang semakin banyak juga menyebabkan ramai orang malas untuk bangun atau bergerak dan ia dapat dilihat jelas di dalam pejabat. 
 
“Justeru, cuba lakukan senaman ringkas atau menukar posisi setiap jam bagi memberi kesegaran dan kesihatan pada tubuh badan,” katanya.
 
Menurutnya, ada senaman mudah yang boleh dilakukan tanpa mengeluarkan kos yang tinggi ketika sibuk bekerja. Misalnya, hanya berjalan 10,000 langkah dalam sehari dapat membantu menjaga kesihatan tubuh badan.
 
Selain itu, diet seimbang juga harus diamalkan setiap hari dengan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan sebanyak lima hingga tujuh sajian setiap kali menikmati hidangan pagi, tengah hari atau malam. 
 
“Ramai orang suka makan nasi lemak dan tidak tahu cara atau formula untuk mengira kalori dalam hidangan.
 
“Nasi lemak boleh dimakan, tetapi lebihkan pengambilan sayur seperti timun dan ayam yang dimasak sambal asalkan bukan ayam goreng kerana ia mengandungi banyak lemak,” jelasnya.
 
Untuk memberi kesihatan kepada jantung, ia memerlukan mikro nutrien yang boleh didapati di dalam kekacang, badam, kacang dal, ikan salmon, telur kuning dan bayam. 
 
Namun, jika dimasak, ia tidak boleh melebihi 42 darjah Celsius bagi mengelakkan mikro nutrien hilang daripada sumber makanan.
 
Bagi hati pula, pati kacang soya boleh diambil bagi menjana semula sel baru dan menggalakkan proses nyahtoksin. Selain itu, B kompleks juga baik untuk kesihatan hati yang boleh didapati daripada beras perang dan kekacang 
bagi membantu proses nyahtoksin. 
 
Kesihatan sendi juga harus dijaga dengan mengamalkan pengambilan sumber makanan yang mengandungi omega dan bendi untuk kolagen. Mikro nutrien untuk kesihatan kulit pula boleh diperoleh melalui teh hijau, lemon dan anggur.
cara cuci buah pinggang BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2