Penyakit kulit kronik

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
 
Seorang rakan menceritakan kebimbangannya mengenai masalah anak yang menghadapi masalah kulit kepala berkerak. Bukan itu saja, terdapat lapisan seolah-olah daki keras pada kulit kepalanya.
 
Dia berusaha menghilangkannya dengan pelbagai jenis syampu dan minyak kelapa, namun semua itu tidak berhasil. Adakalanya apabila anak terasa gatal, dia mula menggaru sehingga kulit kepalanya terluka dan berdarah. 
 
Malah, rambut anaknya yang berusia tujuh bulan itu juga tumbuh agak jarang dan sangat halus. Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang menghadapi masalah sama seperti dirinya dan hanya menganggapnya ruam akibat masalah peluh. 
 
Namun bagi mendapatkan kepastian mengenai kebenarannya, seeloknya bawa anak berjumpa pakar bagi mengatasi masalah berkenaan agar tidak melarat hingga ke seluruh tubuh.
 
Pakar perunding penyakit kulit, Dr Mohd Noh Idris berkata, masalah kulit kepala berkeruping dan kelihatan kemerah-merahan dipanggil seborrheic ekzema.
 
“Ia sejenis penyakit kulit yang kronik bukan hanya berlaku pada kulit kepala, malah boleh terjadi di belakang telinga, tepi hidung, kening, misai, janggut, ketiak dan bawah payudara. 
 
“Jika berlaku di kepala ia dipanggil kelemumur yang menyebabkan rasa gatal dan kadangkala berair. Masalah ini boleh terjadi kepada bayi berusia sebulan ke bawah. 
 
“Malah, ia boleh berlaku secara berulang sehingga ke usia 40 hingga 50 tahun. Bukan hanya bayi, orang dewasa boleh menghadapi masalah sama jika mereka mempunyai keturunan penghidap penyakit ini,” katanya. 
 
Namun penyakit kulit ini tidak berbahaya dan hanya berlaku dalam kalangan tiga hingga lima peratus daripada populasi masyarakat di negara ini. 
 
Punca seborrhea ekzema 
 
Faktor genetik memainkan peranan penting kepada risiko mendapat masalah penyakit kulit ini. Jika ada keturunan keluarga yang menghidap masalah ini, tidak mustahil anaknya juga berisiko tinggi menghidapinya. 
 
“Selain faktor genetik, ada sesetengah pesakit mendapat masalah ini berpunca daripada kuman kulat yang dipanggil pityrosporum ovale. Namun, tidak semua bayi menghadapi masalah ini disebabkan kuman kulat berkenaan. 
 
“Peningkatan sensitiviti kepada kulat berkenaan iaitu organisma yang hidup pada kulit dipercayai memainkan peranan dalam masalah ini. 
 
“Jika berkaitan orang dewasa, kebanyakan pesakit daripada golongan lelaki berbanding wanita. Ia dikaitkan dengan tekanan atau imun sistem yang rendah terutama bagi pesakit HIV yang menyebabkan kuman kulat itu menjadi lebih agresif,” katanya. 
 
Tambahnya, ini tidak bermakna pesakit seborrheic ekzema mempunyai HIV. Pesakit HIV boleh mendapat seborrheic ekzema yang agak teruk. 
 
Lazimnya, semua manusia mempunyai kuman kulat ini, namun ia bergantung sama ada ia agresif ataupun tidak. Jika ia agresif, masalah penyakit kronik ini boleh terjadi. 
 
Ramai orang sering mengaitkan faktor makanan yang menjadi punca kepada kebanyakan masalah penyakit kulit. Bagi seborrheic ekzema, makanan tidak memainkan peranan penting. 
 
“Kita selalu silap apabila menyalahkan amalan makanan sehingga menyebabkan penyakit kronik sedangkan ia disebabkan faktor genetik, kuman kulat dan tekanan. 
 
“Ibu bapa perlu tahu, masalah penyakit kulit ini tidak berjangkit dan ia boleh sembuh jika mendapat rawatan daripada pakar kulit berbanding menyelesaikannya sendiri. 
 
“Malah, penyakit ini sama sekali berlainan daripada masalah atopik ekzema. Kira-kira 40 peratus masalah atopik ekzema berpunca daripada alahan pada susu lembu dan telur putih. Atopik ekzema tidak membabitkan kelengkang manakala seborheic ekzema boleh terkena bahagian itu,” katanya. 
 
Tambahnya, penyakit kulit yang kronik itu juga boleh disebabkan masalah alam 
sekitar seperti pencemaran. Lazimnya, masalah berkenaan akan bertambah teruk ketika menghadapi musim sejuk kerana kulit akan mengalami kekeringan akibat dehidrasi. 
 
Rawatan bersesuaian 
 
Masalah berkenaan tidak boleh dikenal pasti, namun kita boleh bersedia jika ada ahli keluarga yang menghadapi penyakit kronik berkenaan. 
 
Namun, ia tidak dapat dipastikan tahap peratusannya sama ada anak akan menghidapnya atau tidak. 
 
“Pesakit perlu dirawat segera terutama jika ia berlaku pada bayi kerana boleh merebak hingga ke seluruh badan jika dibiarkan dalam tempoh lama. 
 
“Disebabkan kulit berfungsi untuk mengawal suhu badan dan air, kehadiran keruping yang tebal dan kemerahan seluruh kulit akan mengganggu fungsinya kepada tubuh, sekali gus menyebabkan dehidrasi. 
 
“Jika dehidrasi berlaku dengan teruk, ia juga boleh membawa kepada masalah buah pinggang. Justeru, ibu bapa perlu lebih peka jika ada masalah kulit yang berlaku pada bayi,” katanya. 
 
Tambahnya, rawatan yang biasa digunakan adalah penggunaan syampu bersesuaian yang lebih lembut mengikut tahap keseriusan masalah. 
 
Selain itu, pakar juga memberikan krim antikulat serta steroid yang perlu digunakan secara terkawal mengikut tahap kritikal jangkitan berkenaan. 
 
Walaupun ramai yang bimbang apabila mendengar steroid akibat pelbagai mitos, sebenarnya krim itu tidak akan menjejaskan kulit jika ia digunakan mengikut nasihat doktor atau pakar, malah ia berkesan. 
 
Biasanya, kekuatan krim yang disapu pada kulit bergantung kepada kawasan yang dijangkiti sama ada di kepala, bawah kening, kelengkang, pusat atau ketiak bagi mengelakkan kesan lain. 
 
Nasihatnya, jangan guna secara berlebihan dan tanpa pengawasan doktor kerana ia mampu menipiskan kulit. Dr Mohd Noh menegaskan, ubat yang diberi tidak akan memberi kesan sampingan jika mengikut peraturan ditetapkan. 
 
“Tidak perlu segan untuk membawa bayi berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan. Bagi ibu bapa pula, pastikan jaga kebersihan bayi, gunakan sabun atau syampu bersesuaian yang lebih lembut pada kulit bayi. 
 
“Elakkan daripada terpengaruh dengan iklan jika ingin membeli produk bayi sebelum mendapat nasihat doktor bagi mengelakkan kesan sampingan,” nasihatnya. 
 
Tambahnya, walaupun ibu bapa sibuk setiap hari dengan tugasan, jika anak mempunyai masalah kesihatan atau kulit, segera berjumpa doktor kerana kebanyakan pesakit yang datang apabila keadaan sudah teruk.

 


Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2