Sekat sumber penyebab alahan elak mudarat

Alahan ternyata suatu keadaan yang terlalu kompleks dengan pelbagai kemungkinan faktor penyumbang hingga menyebabkan sukar mencari punca sebenar atau penyelesaian kekal kepada masalah berkenaan.
 
Langkah terbaik yang boleh diambil jika sese­orang mendapat alahan adalah mendapatkan rawatan, mengawal simptom dan mengelak diri daripada punca yang dipercayai boleh mencetuskan alahan. 
Pakar alergi dan imunologi klinikal, Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, berkata biarpun doktor memiliki pelbagai mekanisme bagi mencegah dan mengawal masalah alahan, punca sebenar yang mencetuskan alahan sebenar­nya sukar dikenal pasti dan lang­kah terbaik hanyalah pencegahan. 
 
Baginya, alahan dianggap wujud sekiranya sudah ada simptom dan sebaik punca kepada alahan berjaya dikenal pasti, perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah mengelak terus daripada sumber penyebab alahan kerana ia boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa kanak-kanak.
 
“Namun, sekiranya ada risiko alahan kerana ibu kanak-kanak mempunyai sejarah tetapi anaknya tidak menunjukkan sebarang simptom kepada punca alahan ibu, maka anak itu tidak perlu mengelak punca alahan ibu namun masih perlu diberi perhatian kerana pada bila-bila masa keadaan itu boleh berubah,” katanya.
 
Antara jenis makanan yang sering menjadi pe­nyebab alahan (90 peratus alahan) adalah susu lembu, kacang soya, putih telur, gandum, kekacang seperti badam serta hazel, ketam, udang dan ikan. 
 
Menurutnya, selain ujian darah, kanak-kanak berusia setahun ke atas juga boleh menjalani ujian ‘cucuk’ kulit bagi mengenal pasti sekiranya mereka alah kepada jenis makanan tertentu. 
 
Ujian itu membabitkan titisan sampel ekstrak jenis makanan ke atas kulit dan kemudian meng­gunakan sejenis alat khas untuk mencucuk kulit. Selepas 20 minit, bahagian yang diuji akan menunjukkan kesannya. 
 
Jika ia menunjukkan kesan seperti digigit nyamuk, ia menandakan kanak-kanak itu alah pada makanan berkenaan dan harus mengelaknya. Namun sekiranya tidak, mereka boleh mengambil makanan itu. 
 
Bagaimanapun, kanak-kanak yang tidak menunjukkan simptom tetap mempunyai lima peratus kemungkinan mendapat alahan kerana ujian berkenaan dijalankan berdasarkan genetik mereka yang ada sejarah alahan dalam keluarga. 
 
Katanya, sekiranya kanak-kanak tidak menunjukkan simptom alahan, mereka disaran mengambil jenis makanan itu untuk meningkatkan sistem pertahanan badan namun jika tiba-tiba simptom timbul, mereka perlu mengelaknya. 
 
“Sistem pertahanan badan setiap manusia berbeza dan alahan yang berlaku juga unik. Ia bersifat individu dan mengikut kes. Tidak ada yang sama biarpun ada sejarah keluarga, jadi apa yang boleh dibuat adalah memantau setiap individu yang ada alahan. 
 
“Disebabkan itu, agak sukar untuk membuat telahan mengenai sesuatu alahan dan mencari permulaannya kerana ia terlalu kompleks dan terlalu banyak faktor penyumbang. 
 
“Kadangkala biarpun simptom yang ditunjukkan serupa, ia bukan alahan sebaliknya masalah lain seperti tidak serasi dengan laktosa dalam susu atau pertahanan kulit yang rapuh, tidak ada kena-mengena pun dengan sistem pertahanan badan,” katanya. 
 
Justeru, dunia perubatan memerlukan lebih banyak pakar alergi, memandangkan masalah itu semakin meningkat di seluruh dunia termasuk di negara ini. 
 
Menurutnya, alahan terhadap makanan tidak dapat dirawat dan terapi imuno berkaitan dengannya masih di peringkat kajian. Bagaimanapun alahan terhadap habuk, haiwan peliharaan atau debunga boleh dirawat menggunakan terapi imuno yang mengambil masa rawatan yang boleh menjang­kau hingga lima tahun. 
 
Rawatan yang diharapkan memberi kesan panjang antara lima tahun dan selama-lamanya itu juga perlu disusuli dengan pemantauan secara konsisten. Terapi imuno yang juga usaha terakhir merawat, membabitkan pendedahan pesakit kepada punca alahan yang dilakukan dalam suasana terkawal dan di bawah pemerhatian doktor. 
 
Pesakit didedahkan secara sedikit demi sedikit dengan punca alahan dan jumlahnya akan ditingkatkan secara berdikit hingga sistem pertahanan badan dapat mengenal pasti punca alahan tidak merbahaya kepada tubuh dan bertolak ansur dengannya. 
 
Namun, terapi imuno hanya boleh dilakukan sekiranya punca kepada alahan data dikenal pasti dengan tepat kerana ia rawatan spesifik dan boleh dijalankan ke atas pesakit yang usianya belum mencecah 70 tahun. 
 
Menurutnya, alahan perlu dikenal pasti dan dirawat bagi mengelakkannya berkembang menjadi masalah kesihatan yang lebih teruk seperti asma dan rinitis, selain meningkatkan kualiti kehidupan. Ini kerana alahan boleh mengganggu seseorang antaranya tidak cukup tidur, sekali gus menjejaskan pencapaiannya dalam bidang akademik atau pekerjaan. 
 
Apa itu rinitis? 
 
Rinitis adalah istilah perubatan bagi keadaan kerengsaan dan radang membran mukus di dalam hidung dan menimbulkan simptom seperti hidung tersumbat, berhingus dan keluaran cairan. 
 
Rinitis paling biasa berlaku akibat alahan yang dicetuskan oleh udara seperti bulu atau debunga. Rinitis juga boleh menyebabkan simptom lain seperti bersin, batuk, sakit kepala, keletihan, kemalasan dan kemerosotan kognitif. Ia juga memberi kesan kepada mata misalnya menyebabkannya berair, merah dan gatal serta sembab di sekeliling mata. 
 
Apa itu asma? 
 
Asma adalah jenis penyakit radang kronik di bahagian saluran pernafasan yang sering dan berlaku berulang kali, halangan saluran udara yang mampu dibaiki dan bronchospasm. 
 
Simptom biasa termasuk berdecit, batuk, sesak dada dan sesak nafas. Penyakit ini berpunca daripada gabungan genetik dan persekitaran. Pelbagai faktor persekitaran yang menyumbang kepada masalah asma antaranya alahan, pencemaran udara dan bahan kimia alam sekitar. 
 
Menghisap rokok ketika hamil adalah penyumbang terbesar kepada simptom asma. Keadaan alam sekitar yang tercemar boleh meningkatkan keterukan asma. Selain itu, bulu haiwan, lipas, habuk dan kulat juga mampu mencetuskan asma.

Rawatan dan Sihat Tanpa Ubat BioVCO

Baca Juga Info Kesihatan Berikut :

9 Tanda Anda Mengalami Gangguan Tiroid
Cara Mengawal Tahap Kolesterol
9 Tanda Awal dan Simptom Kencing Manis
Makanan Terbaik Apabila Anda Mengalami Jangkitan Resdung
Makanan dan Minuman Untuk Penyembuhan Tonsilitis
Menurunkan Berat Badan Dengan Pemakanan Ini
Kekalkan Dan Mengatasi Penyakit Dengan Pemakanan

$alt2