Gastrik sering dikaitkan dengan keupayaan berpuasa. Namun, hakikatnya, penyakit ini boleh sembuh sepenuhnya kerana sifat semula jadi lapisan membran perut yang mampu membina semula sel lapisan yang terhakis dengan bantuan ubat dan rawatan betul.
gastrik terjadi apabila selaput dalam perut mengalami keradangan atau membengkak. Jenis Gastritis yang menyerang dan sembuh dalam waktu yang singkat dipanggil gastritis akut. Manakala
gastrik berpanjangan dan kerap sehingga bertahun-tahun adalah gastritis kronik.
Apabila terlalu banyak asid dan lapisan pelindung mula terhakis, pesakit akan mula mendapat gastritis. - Dr Sukumar
Keadaan ini boleh menjejaskan perut dan deodenum (usus kecil). Ada beberapa terminologi lain seperti gastritis, gastrodeodonitis dan juga reflux (jeluak).
Apapun, ia masih berada dalam satu lingkungan spektrum penyakit. Masalah utama penyakit ini adalah asid. Keduanya kadangkala ada banyak asid dalam perut dan ia dilindungi oleh satu lapisan membran.
“Apabila terlalu banyak asid dan lapisan pelindung mula terhakis, pesakit akan mula mendapat gastritis, katanya ketika ditemui Sihat baru-baru ini.
Lazimnya, kebanyakan mengalami
gastrik akibat jangkitan bakteria (Helicobacter pylori). Keduanya, amalan pemakanan seperti terlalu kerap makan di luar, masa makan yang tidak teratur, jenis makanan seperti pedas, berempah, makan terlalu banyak dan tabiat buruk seperti minum arak atau merokok.
Mengamalkan pengambilan ubat penahan sakit untuk merawat demam, sakit tulang, sakit belakang selain tekanan hidup dan tempat kerja turut menyumbang kepada penyakit
gastrik.
Antara gejala lazim yang dialami adalah sakit pada bahagian hulu hati dan pedih hingga naik ke bahagian dada, loya, muntah, kadangkala sembelit dan cirit birit. Ramai juga pesakit
gastrik yang mengaitkannya dengan banyak angin dan kembung serta hilang selera makan.
Sikap suka melengah-lengahkan rawatan kerana takut menyebabkan keadaan menjadi bertambah serius dan akhirnya pesakit terpaksa menerima rawatan kecemasan iaitu pembedahan. Kes ini biasanya membabitkan pesakit yang mendapat serangan
gastrik waktu malam selepas parti atau tidak dapat tidur akibat jeluak asid.
Komplikasi
gastrik yang melarat sehingga menjadi ulser antaranya muntah, muntah darah atau buang air besar berwarna gelap akibat pendarahan yang keluar melalui najis. Ada juga kes yang serius sehingga dinding perut bocor akibat ulser dan memerlukan pembedahan segera.
Dr Sukumar menjelaskan, ulser yang dibiar terlalu lama boleh menyekat saluran perut. Ini kerana apabila ulser menjadi kronik, ia akan menyempitkan saluran dekat bahagian pylorus. Bgaimanapun dengan teknologi perubatan yang semakin moden, peringkat akhir ulser dan
gastrik masih boleh disembuhkan tanpa pembedahan.
Ketika ini, jika pesakit datang dengan pendarahan, pakar akan melakukan skop, menyuntik ubat dan terus memberhentikan pendarahan. Jika ia diakibatkan bakteria, antibiotik diberikan untuk membunuh bakteria. Ini kerana satu sifat semula jadi perut yang menakjubkan ialah ia mampu membina semula sel selepas berlaku hakisan pada lapisan perut dengan bantuan ubat tanpa meninggalkan parut.
Ujian pula boleh dijalankan iaitu dengan mengetahui latar belakang pesakit di mana ia boleh disahkan secara diagnosis termasuk endoskop, ujian darah, ujian pernafasan, ujian keasidan dan imbasan sinar-x.
Berbanding
gastrik kronik, jenis
gastrik akut iaitu mereka yang sakit disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori atau berpunca dari pengambilan ubat tahan sakit lebih mudah dirawat. Ini kerana pengamal perubatan boleh mengesan punca serangan itu. Ini bermakna doktor akan merawat
gastrik dan mengelak punca penyebab
gastrik berkenaan.
Pesakit
gastrik kronik, (kerap mendapat serangan
gastrik seperti setiap dua bulan) sukar untuk dirawat. Lazimnya sebagai rawatan peringkat pertama pesakit akan dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat kapur yang berfungsi untuk melemahkan asid.
Rawatan seterusnya jika langkah pertama kurang berkesan ialah pengambilan H2 Blocker untuk mengurangkan asid sehingga 50 peratus. Kaedah ini popular lima tahun lalu sebelum Proton Pump Inhibitors (PPI) yang lebih kuat dosnya diperkenalkan. Hanya dengan sebiji PPI setiap hari, sehingga 90 peratus asid mampu dikurangkan.
Biarpun kini PPI dianggap sebagai ubatan utama, kadar tersebar luas, penyakit
gastrik yang semakin meningkat terutama dengan pembangunan dan arus pemodenan yang pesat seharusnya membimbangkan semua. Banyak perkara yang perlu diubah terutama di kalangan pesakit
gastrik kronik kerana ia membabitkan gaya hidup yang sekian lama diamalkan.
“Perubahan gaya hidup adalah kunci utama kepada kehidupan yang sihat dan bebas dari tekanan. Makan pada waktunya, memilih diet yang seimbang, berhenti merokok dan minum arak serta bersenam adalah cara terbaik untuk kekal cergas dan sihat.
Pesanan saya kepada pesakit yang mengalami penyakit ini, janganlah terlalu tertekan dan merasa terdesak untuk mendapatkan penawar secara serta merta. Kadangkala agak sukar untuk sembuh secara serta merta, namun anda perlu bersabar, makan ubat dan ikutlah saranan doktor,” kata Dr Sukumar.
Lina ubah gaya hidup elak gastrik
TUGAS sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah institusi kewangan di ibu negara menuntut fokus dan komitmen yang cukup tinggi terutama dari segi masa.
Ibu beranak tiga yang selesa disapa Lina ini, mengakui rutin hariannya yang terlalu rencam termasuklah menguruskan keluarga, anak-anak, suami dan kerjaya. Ini menyebabkan dia terlupa tanggungjawabnya terhadap diri sendiri terutama dari segi pemakanan dan kesihatan.
“Saya tidak pernah ada masalah ini ketika di bangku sekolah. Tetapi pernah ada beberapa orang rakan sebaya yang mengalaminya ketika belajar di sebuah sekolah berasrama penuh dulu, jadi saya faham dengan keadaan itu,” katanya ketika ditemui Sihat baru-baru ini.
Satu perkara yang diakui Lina, dia tidak pernah makan tepat pada waktunya sejak dari bangku sekolah lagi. Selain itu, Lina sukakan menu yang pedas dan berempah serta liat untuk bersenam. Malah selepas mempunyai tiga anak, Lina merasa dia tidak perlu bersenam mahupun melakukan apa-apa aktiviti fizikal kerana berat badannya kembali kepada asal.
“Semuanya berubah selepas saya berusia 35 tahun. Ketika itu saya sibuk dengan urusan kerja dan kerap ke luar negara atas urusan pejabat. Jadual yang ketat menjadikan waktu makan saya semakin kacau bilau, tambah pula saya jenis yang amat cerewet dengan makanan.
“Pada mulanya, saya kerap sendawa, merasa pedih di bahagian hulu hati, loya dan seperti hendak muntah. Namun saya abaikan saja kerana ia hilang dengan sendirinya selepas itu. Keadaan ini saya sedari selepas melahirkan anak ketiga,” katanya.
Lina berkata, beberapa minggu kemudian, semua gejala yang dialami itu datang serentak selepas bersarapan pagi dengan suami diikuti dengan rasa memulas-mulas dan dicucuk-cucuk dan seperti dihiris di dalam perut.
“Mulanya saya sangka ia disebabkan keracunan makanan berikutan saya cirit birit dan muntah-muntah. Namun, rasa sakit semakin menjadi-jadi sehingga saya tidak dapat berdiri tegak dan hanya mampu membongkokkan badan menahan kesakitan. Keadaan ini agak pelik kerana kami sekeluarga makan makanan yang sama pagi itu.
“Suami saya mula panik kerana wajah saya sangat pucat dan mula berpeluh-peluh. Tanpa berlengah lagi, kami mencari klinik terdekat untuk rawatan segera. Di klinik, suami terpaksa mendukung saya kerana terlalu lemah dan dalam kesakitan,” katanya.
Ketika berbaring untuk pemeriksaan, doktor yang merawat mula bertanya latar belakang kerja, kesihatan dan usia. Doktor juga menekan bahagian perut yang sakit dan bertanya berapa lama keadaan ini berlarutan.
“Jelas sekali saya bukan keracunan makanan sebaliknya mengalami gastritis akibat terlalu banyak asid dalam perut sehingga ia menghakis lapisan membran dinding perut. Bagaimanapun saya masih bernasib baik kerana ia tidak melarat menjadi ulser yang lebih serius.
“Keadaan ini berlaku kerana amalan gaya hidup yang tidak baik sejak sekian lama. Doktor memberikan saranan yang terbaik dari segi amalan pemakanan dan rutin senaman mudah serta beberapa jenis ubat makan dan minum, ubat angin dan ubat sakit perut,” katanya.
Lina berkata, beliau kini sentiasa memastikan bersarapan setiap hari tepat pada waktunya dan sentiasa menyediakan makanan sampingan seperti biskut, roti, bun dan buah sebagai bekalan di dalam beg sekiranya tidak berkesempatan untuk keluar makan tengahari atau malam.