KEHADIRAN Ramadan 1432 mula dirasai. Ia bulan yang dinanti-nantikan semua pihak, baik individu mahupun golongan peniaga, tidak kira apa kepercayaan. Kerana di sini ada pelbagai kelebihan berbanding bulan lain.
Ia menyediakan banyak rezeki dan keuntungan, limpahan pahala dan keampunan, dan paling penting peluang dan ruang merehatkan seluruh sistem tubuh, sekali gus memelihara kesihatan.
Daripada sudut kejiwaan, Ramadan adalah bulan pendidikan, bulan tarbiah, di mana siangnya disuruh berpuasa dan malamnya disuruh membanyakkan ibadat. Jika ruang masa selama 30 hari (720 jam) itu dimanfaatkan untuk mengambil faedahnya, nescaya kesan bergandanya akan diperoleh setelah Ramadan berakhir.
Walau apapun tanggapan di sebalik Ramadan, ia bulan untuk merenung kembali corak pemakanan dan lain-lain amalan memudaratkan yang lama diamalkan.
Kalau selama 11 bulan tubuh badan terus-terusan dikerjakan dengan pelbagai jenis perbuatan tidak menyihatkan, diharapkan sebulan Ramadan dapat memberi pengertian baru makna sebenar sebuah kehidupan.
Ada dua kesan penting daripada amalan puasa pada Ramadan. Pertama, ia mengaktifkan semula semua ‘generator’ dalaman sebagai punca tenaga utama untuk meneruskan kehidupan. Ia boleh berpunca daripada glycogen (stok glukos), triglyceride (simpanan lemak) dan tenaga yang disediakan protein.
Sebab itu apabila seseorang benar-benar menjiwai konsep berpuasa dan tidak melayan nafsu makannya, kesan penurunan berat badan perlahan-lahan dilihat berikutan pembakaran lemak dan pemecahan protein daripada otot.
Malah semua bahan mudarat tubuh termasuk toksin, radikal bebas, sel mati, sel dan kuman pengacau juga dibuang berikutan pengaktifan seluruh sistem dalaman yang dulunya kurang digunakan. Ia termasuk sistem hormon, enzim, sistem imun dan lain-lain biokimia di dalam badan.
Ini boleh diperhatikan menerusi bau pernafasan, bau (termasuk warna) urin dan bau najis yang berbeza ketika berpuasa. Lidah juga kelihatan tebal dengan bahan kotoran dikeluarkan.
Kesan kedua ialah, puasa mengaktifkan semula peranan akal sebagai ‘nakhoda’ utama untuk mengatur kehidupan. Apabila gelojak nafsu buruk dikunci oleh puasa, secara tidak langsung peranan akal dapat dirangsang dan dimanfaatkan, sekali gus turut membimbing seseorang kepada kehidupan lebih ceria dan lebih positif. Dikatakan tahap ingatan ketika berpuasa lebih tajam dan cerdas berbanding ketika tidak berpuasa.
Justeru, bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan, Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk membuat tekad. Kalau selama ini kehidupan banyak digerakkan oleh tenaga daripada sumber luar dan makanan diambil, dengan berpuasa semua stok tenaga dapat diaktifkan dan dalam tempoh sebulan saja berat badan idaman jelas kelihatan.
Begitu juga bagi yang ingin berhenti merokok, jika amalan berpuasa benar-benar difahami, keinginan merokok pasti dapat dipadam lantaran peranan akal jauh lebih dominan.
Apabila tanggungjawab menyayangi tubuh lebih diutamakan, tentu perbuatan merokok bukan lagi sesuatu yang indah dan perlu diteruskan.
Kewajipan berpuasa pada Ramadan bukan saja dilihat daripada perspektif agama tetapi juga biologi, iaitu kemampuan tubuh bertindak balas terhadap kelaparan.
Ia menguji sejauh mana tubuh mampu bergelut mempertahankan kestabilan fungsi seperti tekanan darah, gula darah dan lain-lain biomarker penting untuk meneruskan kehidupan meskipun dalam keadaan tertekan.
Ia satu kewajipan yang mesti dipatuhi penganutnya. Kejayaan melalui seluruh Ramadan tanpa rasa tidak selesa seperti pening, pedih hati dan pelbagai rasa sakit membuktikan sistem biologi tubuh masih kuat untuk meneruskan kehidupan.
Ia juga menguji ketahanan jiwa akibat godaan yang sentiasa merangsang. Ia menguji sekuat mana jiwa dapat menafikan desakan dan keinginan nafsu kepada suasana bermewah-mewah dan mengada-ngada ketika berbuka.
Ia juga menguji ketahanan jiwa apabila diajak melakukan perkara yang merosakkan. Apabila jiwa berjaya mengharungi semua fitnah ini, ia membuktikan sistem kejiwaan tubuh masih kuat dan kental untuk menghayati Ramadan sebagai ujian sangat bererti yang mesti dilakukan setahun sekali.
Faedah berpuasa bukan saja terletak pada kesan kesihatan ketara dibawanya, tetapi juga meliputi aspek lain yang ditarbiahkan oleh Ramadan. Ini terletak pada dua amalan utamanya iaitu ketika berbuka dan bersahur.
Daripada sudut kesihatan, berbuka adalah waktu paling mustajab untuk memulihkan tahap glukos darah yang rendah. Justeru, hidangan terbaik adalah menu yang dapat meningkatkan glukos darah dengan cepat, hidangan yang dapat memberikan indek glukos tinggi.
Manisan buat sekadarnya seperti buah-buahan, kuih-muih dan air minuman yang kurang manis mencukupi untuk menghilangkan kemuncak kelaparan akibat kadar glukos rendah. Tenaga dijana daripada manisan boleh bertahan beberapa jam tanpa perlu disusuli makanan berat.
Amalan berbuka puasa yang menjadi tradisi masyarakat dewasa ini mungkin perlu disesuaikan dengan keperluan sebenar tubuh. Adalah silap jika waktu berbuka diuruskan untuk memenuhi desakan mata, hidung dan mulut semata-mata.
Begitu juga amalan bersahur, meskipun ia sunat, maksud tersirat daripada amalannya wajar difahami. Ia bukan sekadar makan untuk mengalas perut tetapi amalan penting bagi mempersiapkan diri menghadapi tempoh berlapar yang panjang.
Justeru, pemakanan waktu bersahur harus diasaskan oleh ilmu betul. Ia adalah persiapan bagi melambatkan rasa lapar dan mengekalkan rasa kenyang. Oleh itu, hidangan mestilah berupa bahan yang mempunyai indeks glukos rendah dan lambat dihadam.
Bahan makanan semula jadi yang tidak diproses banyak seperti yang tinggi fiber, mempunyai kadar kanji degil yang tinggi dan sukar dihadam seperti bijirin, sayuran dan nasi adalah menu terbaik yang wajar diamalkan. Adalah silap waktu bersahur dihabiskan dengan hidangan dan menu yang boleh mempercepatkan lapar.
Secara umum, pemakanan terbaik ketika berpuasa adalah pemakanan rendah karbohidrat dan lemak tetapi tinggi fiber dan vitamin. Bagi kanak-kanak dan wanita mengandung, mereka juga mungkin memerlukan protein. Pun begitu, memperbanyakkan minuman masih menjadi keutamaan bagi mengelak dehidrasi.
Akhirnya, apa diharapkan daripada amalan berpuasa adalah amalan pemakanan rendah karbohidrat. Penemuan saintifik serta testimoni daripada serata dunia menunjukkan pengamal makanan sebegini kurang mengalami penyakit kronik yang berbahaya, malah terbukti boleh memanjangkan umur.
Justeru, jadikan puasa Ramadan sebagai perintis kepada pemakanan rendah karbohidrat, kerana di situlah wujudnya pengajaran yang jarang diperhatikan.