Jangan kerana terlalu yakin usia masih muda hingga kita terlepas pandang menjalani pemeriksaan kesihatan. Ramai dalam kalangan kita tak ambil kisah perihal kesihatan. Ubah persepsi ini kerana tak semua andaian anda itu benar.
Bukan fenomena luar biasa jika anak muda tidak ambil peduli perihal kesihatan diri. Mungkin sekiranya wabak menular itu berkaitan penyakit berjangkit, kita akan lebih peka.
Ramai menyangka
penyakit diabetes hanya dapat dikesan dan dihidapi orang dewasa ataupun individu gemuk. Sebenarnya, andaian ini tidak boleh dipandang ringan kerana penyakit diabetes dikategorikan sebagai salah satu penyakit kronik paling kerap dihidapi kanak-kanak dan anak muda.
Malah difahamkan, diabetes boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia termasuk bayi dan anak kecil yang baru bertatih.
BUKAN HANYA ORANG DEWASA
Mengulas mengenai isu ini, Pengerusi Institut Diabetes Negara (NADI), Datuk Prof Emeritus Mustaffa Embong menjelaskan, peningkatan individu menghidap diabetes bukan saja dalam kalangan dewasa, malahan golongan muda.
Masyarakat berusia 18 hingga 45 tahun tidak sedar yang mereka menghidap diabetes sehinggalah berhadapan dengan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, rabun, masalah jantung atau sehingga anggota badan perlu di potong.
“Kanak-kanak seawal empat tahun pernah dikesan menghidap penyakit ini. Ada kes kanak-kanak berusia enam tahun menghidap diabetes Type 2, malah ada juga yang baru lahir dengan masalah sama kerana mewarisi daripada ibu (pesakit diabetes),” katanya.
JENIS T2DM DIHIDAPI ANAK MUDA
Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menganggarkan kira-kira 65,000 kanak-kanak bawah umur 15 tahun di seluruh dunia mendapat diabetes jenis pertama setiap tahun.
Dilaporkan, pesakit jenis pertama biasanya mengalami gejala jelas (mendadak), manakala gejala diabetes jenis kedua mungkin tidak terlalu ketara kerana ia menular secara perlahan-lahan dalam jangka waktu lama.
Sementara itu, seramai 300,000 golongan muda di negara ini didapati menghidapi diabetes melitus jenis 2 (T2DM). Ini bermakna, walaupun dalam usia muda kita berdepan komplikasi pelbagai penyakit.
“Sebanyak 20.8 peratus rakyat Malaysia (laporan pada 2012) menghidap T2DM. Yang membimbangkan jumlah pesakit muda berusia antara 20 hingga 25 tahun meliputi lima peratus jumlah itu,” kata sumber dari Universiti Sains Malaysia.
LAKUKAN PEMERIKSAAN AWAL
Menurut Kementerian Kesihatan, Malaysia kini menduduki tangga pertama di rantau Asia dalam bilangan pesakit diabetes dan tersenarai di tangga ke-10 dunia bagi penyakit itu selepas Asia Barat dan Asia Pasifik.
Berdasarkan rekod, terdapat 2.6 juta pesakit diabetes berusia lebih 30 tahun. Daripada jumlah ini, separuh atau 1.3 juta tidak sedar mereka mempunyai diabetes.
Jika diperhatikan, angka dinyatakan cukup menakutkan kerana jumlahnya meningkat setiap tahun. Oleh itu, kita perlu ada kesedaran awal dan jangan takut untuk lakukan pemeriksaan awal. Cepat bertindak sebelum terlambat!